Saturday 6 August 2016

VOYAGE (5/8/2015)

dengan kolek kecil
yang lama kontang di pantai kecewa
aku kini tekad takutkan senja

kembara pun bermula.

garisi laut merah jambu
mencari pulau
untuk aku tambatkan sauh kasih
tapi sayang
pulau-pulau indah
sudah ditambat bahtera mega.

ke mana harus ku layar
berradarkan naluri
berburujkan kata hati
demi mencari pulau berbatu putih
yang tercatat pada buku pengasih.

Friday 1 April 2016

MAHSYAR (1/4/2016)

Ada satu kenangan bangsat
yang haram, takkan aku lupa
yang kemaraukan liang tangisku
yang parutkan lenganku
yang pingitkan aku dari susuk-susuk yang aku pernah cinta.

Saksiku tuhan,
aku tak ingin lupa
meski kau merangkak depan aku berserban
atau bertangis merayu dengan tasbih di tangan
kerana apa guna melupakan
kalau ratanya orang itu berhati syaitan?

Monday 18 January 2016

IMAGINARY HOLLYWOOD (17/1/2016)

Mungkin ini 'sequel' yang keseratus tujuh puluh satu
atau mungkin lebih
untuk filem yang diarah, ditulis oleh Tuhan
dan aku pelakon tak berbayar
berskripkan bentak naluri
dengan penghayatan yang paling dramatik.

Aku patut menang Oscar
dengan setiap lakonan hebatku
menangis, gelak, marah
jerit, ilai, sedu
semuanya 'excellent'.

Entah sampai bila, mau bersara
entah bila, nama aku dipampang di Walk of Fame.

Sunday 10 January 2016

MANA (10/1/2016)

Omong kau kosong
mata kau bohong
pandai kau perdaya,
seperti matari di bulan Januari.

Berhenti bermain rasa, sayang.
Bontotku kebas duduk lama
tunggukan titis-titis cinta yang bermendung pun tidak
guruh saja yang mendentum teriak.

Tuesday 1 December 2015

KERTAS BARU (30/11/2015)

Pernah dia lupa
yang sini bukan tempat menjaja
mempamer cerita dahagakan pemuja
ada yang direka, ditambah
dibuat seolah itulah cereka dunianya
bilamana dia kosong
lupa entah beza khayal sama rasa
tapi siapa yang tahu
bohong si raja drama?

Tapi tak semua,
mungkin sebab dia mau
setiap satu itu disimpan
tak sudi ditayang semua.

Mungkin juga
sebab dia terlalu rabak
sampai telanjangnya pun menjadi baju
segala jantung, paru, dan darah ITU pun bukan telanjangnya.

Kenapa?
sebab semua sudah tahu
dan lihat
sampai terobos ke pusat jiwanya yang paling dalam
sedalam setiap kata pujangga cemuhan dunia

Jadi, dia nafi.
Dia ubah jalan cerita supaya pembaca tahu
yang dia tidak terlalu lunyai dan lumat.
Dia cuma telanjang.

IMMUNITI (30/11/2015)

aku terlupa bersyukur
untuk setiap dos bius
yang telah buat aku lali
dari runtun yang mencengkam saraf

aku terlupa bersyukur
untuk setiap tembakan vaksin
yang telah buat aku kebal
dari segala infeksi yang melawan

Friday 2 October 2015

JANGANLAH (2/10/2015)

Maka ini noktah riwayatku
kecai digilis roda-roda pencerca
darah beku tertumpah dengan debu.

Berpuluh menyapa mengesat tangis
tapi tak ada yang tahu
yang sayangnya aku serik
untuk percaya
dan menunjuk rasa.

Kejutkan aku dari mati
bila malaikat bangkit dari mati, nanti.