Saturday, 6 August 2016

VOYAGE (5/8/2015)

dengan kolek kecil
yang lama kontang di pantai kecewa
aku kini tekad takutkan senja

kembara pun bermula.

garisi laut merah jambu
mencari pulau
untuk aku tambatkan sauh kasih
tapi sayang
pulau-pulau indah
sudah ditambat bahtera mega.

ke mana harus ku layar
berradarkan naluri
berburujkan kata hati
demi mencari pulau berbatu putih
yang tercatat pada buku pengasih.

Friday, 1 April 2016

MAHSYAR (1/4/2016)

Ada satu kenangan bangsat
yang haram, takkan aku lupa
yang kemaraukan liang tangisku
yang parutkan lenganku
yang pingitkan aku dari susuk-susuk yang aku pernah cinta.

Saksiku tuhan,
aku tak ingin lupa
meski kau merangkak depan aku berserban
atau bertangis merayu dengan tasbih di tangan
kerana apa guna melupakan
kalau ratanya orang itu berhati syaitan?

Monday, 18 January 2016

IMAGINARY HOLLYWOOD (17/1/2016)

Mungkin ini 'sequel' yang keseratus tujuh puluh satu
atau mungkin lebih
untuk filem yang diarah, ditulis oleh Tuhan
dan aku pelakon tak berbayar
berskripkan bentak naluri
dengan penghayatan yang paling dramatik.

Aku patut menang Oscar
dengan setiap lakonan hebatku
menangis, gelak, marah
jerit, ilai, sedu
semuanya 'excellent'.

Entah sampai bila, mau bersara
entah bila, nama aku dipampang di Walk of Fame.

Sunday, 10 January 2016

MANA (10/1/2016)

Omong kau kosong
mata kau bohong
pandai kau perdaya,
seperti matari di bulan Januari.

Berhenti bermain rasa, sayang.
Bontotku kebas duduk lama
tunggukan titis-titis cinta yang bermendung pun tidak
guruh saja yang mendentum teriak.