Saturday, 28 February 2015

SURAT DARI TUHAN (25/2/2015)

Aku dapat satu surat
Yang atasnya tak ada walau satu abjad
Tapi aku mampu baca apa yang tersirat
Aku tahu ini semua hikmat.

MANUSIA CIPTAAN MANUSIA (25/2/2015)

Matanya dibuat dari guli
Telinganya dipatah dari kuali
Mulutnya diambil dari tempayan
Kayu dan paku menjadi kaki dan tangan
Tapi hatinya bukan batu.

DURI 26/2/2015)

Semakin banyak duri yang aku cabut dari jantung aku
Semakin banyak yang tumbuh mencucuk
Makin banyak darah yang keluar dari lubang yang tertusuk
Makin hancur jantung aku yang sudah lama membusuk.

Thursday, 26 February 2015

HEADSHOT (25/2/2015)

Perasaan yang itu,
Seperti picu pistol yang ditarik oleh jari hantu
Dan dilepas laju
Kemudian peluru memacu
Menikam gegendang telinga
Tembus ke jiwa
Dan memaksa nyawa
Untuk pergi meninggalkan tuannya.

RESEPI MAKANAN RUJI (25/2/2015)

Takut,
Sunyi,
Kecewa,
Dan cubaan untuk gembira.

Semuanya digaul rata.
Dikisar mesra,
Dan diratah mentah.
Diamalkan tiap hari.
Mujarab untuk kau rasa apa yang aku rasa.


PARANOID (25/2/2015)

Kepada manusia yang paling penakut,
Ketahuilah yang membuatkan kau takut itu tak akan membunuh.

Hai tubuh yang paling lumat dilenyek tapak kaki busuk,
Ketahuilah busuk kaki itu nanti mewangikan apa yang di dada.

Hai jiwa yang paling rasa ditinggalkan,
Ketahuilah ada yang rindu melihat kau menangis menghadap kiblat.

Wednesday, 18 February 2015

DANUBE (17/2/2015)

Pinjamkan aku mesin masa
Untuk aku ulang semula.
Pinjamkan aku pintu ke mana saja
Untuk aku merentas benua.

Di kelilingnya orang-orang yang mesra
Nyaman udaranya
Biru langitnya.

Bumi yang menyajikan katarsis.
Aku rindukan Danube.
Aku mahu jadi Danube.

Thursday, 5 February 2015

SALJU KIRIMAN SYAITAN (5/2/2015)

Cukuplah sampai sini
Dengan semua drama, tangis dan ragam
Kau datang bawa bencana
Kau musnahkan apa yang kukata bahagia

Semoga bila kau datang lagi, aku lebih kuat.
Selamat tinggal winter.

Wednesday, 4 February 2015

PISAU TUMPUL (4/2/2015)

Semalam,
Aku cuba bunuh diri.
Tapi sayang,
Pisaunya tumpul.

Semalam,
Aku tidur ditemani pisau tumpul.
Lepas puas menangis tak dipeduli orang,
Cuma dipeduli oleh sebilah pisau tumpul.

Dan bila aku bangun,
Calar-balar itu makin pedih.
Tapi tak sepedih luka pada hati.

Aku tertanya-tanya,
Apa aku bisa tahan,
Jika diletak di neraka Tuhan
Sekiranya pisau itu tidak tumpul?
Sedangkan di neraka dunia pun aku sudah begini?

Monday, 2 February 2015

HIKAYAT MANUSIA CELAKA (1/2/2015)

Dari jauh aku nampak
Dia sedang berjalan tempang

Kakinya berketuat benci
Bibirnya penuh kata-kata maki
Sambil diheretnya musuh-musuh yang dia keji
Menuju ke neraka yang dia cipta sendiri.

Mari kita tunggu sejauh mana tempangnya bergerak
Sampai nanti dia menangis teresak-esak
Dengan jiwanya yang sudah nazak
Sambil menjahit hatinya yang rabak.