Friday, 19 December 2014

PENAT (19/12/2014)

Semalam aku hidup
Dan hari ini aku dibunuh
Esok aku dihidupkan kembali
Lusa aku dibunuh lagi
Dan tulat aku dihidupkan kembali, sekali lagi.

Aku serik dihidupmatikan berulang kali.
Mohon jika biar hidup, hidupkan terus.
Mohon kalau dibunuh, biar dicincang mati terus.

KEJAR (19/12/2014)

Lepas penat mengejar,
Aku pun mau berhenti berlari
Dan pusing ke belakang.

Dan saat itu,
Kau baru menoleh
Sedang aku sudah tawar
Untuk terus mengejar.

BASAH (19/12/2014)

Tangis lalak orang setia kau takung
Percik tempias ketawa orang kau tadah
Sedang kau tak sedar
Di riba kau sendiri sudah lencun.

Monday, 10 November 2014

PUISEXY (10/11/2014)

Dia cuma ada imaginasi yang dangkal
Tapi ceritanya pejal
Yang dicatit di atas kertas kumal.

Menipu, dia tak mau.
Mereka-reka, dia tak mampu.
Sebab tulisannya bukan begitu.

Dia jujur dalam tiap ayatnya
Dia ikhlas dalam tiap tuturnya
Dan dia masih tegar menjaja puisinya.

BABI II (10/11/2014)

Sampai bila mau begini?
Benci
Benci
Dan terus membenci,
Sampai kau biar terlunyai hati?

Sampai bila mau begini?
Benci
Benci
Dan terus membenci,
Sampai tak sedar jiwa kau pun sama babi?

BEKU (9/11/2014)

Dinginnya malam itu
Sehingga tiap jengkal tubuh membeku
Sehingga darah pun seakan berhenti menderu
Dan tulang-temulang seperti mati mengelabu.

Kemudian dilihat sejalur cahaya biru
Dari celah-celah jiwa yang rabak itu
Mencambahkan satu benih harapan baru
Yang semuanya akan pulih, macam dulu-dulu.

Tapi sayang
Egonya masih di bawah takat beku.

Monday, 27 October 2014

FERRARI (27/10/2014)

Dia seperti Ferrari,
Merah menyala dengan berani bersuara.

Katakan dia Ferrari,
Seperti jalak yang megah dengan dia punya mewah.

Ayuh panggil dia Ferrari,
Yang sentiasa cuba tampak sempurna
Kendatipun beratus tompok karat terselit di baliknya.

DRAMA (26/10/2014)

Mati hidup semula sekali pun
Hancur berkecai bulan di langit pun
Takkan mungkin
Kau dengar kata terima maaf dari aku
Takkan aku terlatah
Atau terigau
Takkan sekali.

Ini cerita dramatik
Dan tahniah
Kau watak jahatnya
Yang patut dikeji
Oleh seluruh makhluk bumi.

RADAR (26/10/2014)

Kerlingnya tawar
Senyumnya pudar
Ketawanya hambar

Dan kini aku sedar
Aku cuma perlu beredar
Dan hilang dari radar.

GRAVITI (26/10/2014)

Aku mahu levitasi
Kerana aku penat dikelilingi manusia keji.

Aku mahu merentasi galaksi
Supaya aku hilang dari semua yang aku benci.

Aku mahu melawan graviti
Kerana aku sudah muak merasai gersang bumi.

Thursday, 11 September 2014

MALAIKAT (11/9/2014)

Dia sudah penat memberi hati
Sebab dia cuma dibalas tahi

Dia sudah penat ambil peduli
Sebab dia selalu dibiar sendiri

Dia sudah penat menjaga perasaan
Sebab asyik dia yang dipersetan

Dia sudah penat menjadi malaikat
Sebab baiknya langsung tak diingat.

Tuesday, 9 September 2014

IRBID (9/9/2014)

Bumi sini tak sama
Langit pun tak sama
Udaranya
Bunyinya
Baunya
Langsung tak sama.
Manakan bisa bersatu
Jasad dan hati
Semacam minyak sama air?

Moga tiap satu hari,
Satu langkah
Hati itu kembali pada jasadnya
Yang sudah sebati
Dengan bumi, langit, udara, bunyi dan bau Malaysia.

Sunday, 10 August 2014

MANNEQUIN (10/8/2014)

Terbujur membeku
Aku lemah
Tak mampu melawan
Daya graviti sembilan perpuluhan lapan.

Terbiar hambar
Aku bisu
Tak daya berkata
Walau seperpuluhan frekuensi suara.

Terlelap membuta
Aku tak tercelik
Mataku tak mampu
Melihat walau satu spektrum cahaya.

Terpatung mengosong
Aku tak berperisa
Jasadku membeku
Sedang jiwaku memecut seratus dua puluh batu sejam.

Thursday, 7 August 2014

ESKAPISME (7/8/2014)

Satu langkah dia ke depan lagi
Satu kali juga dia mau pusing belakang. Dan lari.
Yang bergeraknya kaki
Tapi yang membentaknya hati.

Ironi dia
Suaranya berteriak teruja
Tapi rasanya dia masih bertanya,
"Apa betul aku patut teruja?"

Dia sungguh mahu lari
Ke belakang sekuat hati
Sebab yang depan itu tidak pasti.


Monday, 14 July 2014

ADUH (14/7/2014)

Dush
Dush
Dush
Dush
Dush
Cukup lima kali
Lempang diri sendiri
Bodohnya aku ni!

Friday, 11 July 2014

MANTERA (11/7/2014)

Kusiapkan mantera indahku
Kufikir ada yang mau terpaku
Terpikat dan terlalai
Terpukau dan terbuai
Tapi tiada.
Jampiku langsung tak kena.

Kubawa sini sana
Tetap tiada yang sudi terima
Tapi aku tahu
Di luar itu pasti ada satu
Perindu mantera keramatku.

Thursday, 10 July 2014

KENAPA (10/7/2014)

Kenapa
Aku lihat
Lazuardi mengelabu lagi?
Dia bermuram durja, mau menangis barangkali.

Tanah di bawah telapak kaki
Makin kontang.
Bunga-bunga ekspresi
Seakan merajuk tak mau berkembang.
Entah kenapa?

Oh ya
Kerana kau makin jauh
Dan duniaku makin hilang.
Kalau duniaku hilang,
Apa yang tinggal untuk aku ceritakan?

Saturday, 5 July 2014

HUMAN (5/7/2014)

Humaniti
Satu kata yang universal aku rasa
Yang cuma aku ada-adakan
Tak pernah wujud dalam diksi Melayu
Juga tak tercatit di kamus literal
Cuma ada pada kamus hidup kita, human.

Tak kah kau mau nangis,
Bila yang adanya humaniti itu cuma pada apa kau baca?
Bukan yang dapat kau rasa pada landskap dunia?

Pulangkan, segarkan, kekalkan.
Apa yang patut menjadi lumrah
Satu kejadian yang kupanggil human.

KANVAS (5/7/2014)

Untuk kanvas lapuk
Yang berdebu juga kurindu
Sepurnama tak terungkap tak tersingkap
Apa khabar agaknya kau di sana?

Berharian aku berbisu
Mungkin sebab ilhamku lesu
Tapi banyak
Yang kau perlu tahu
Yang aku tak terupaya mahu memberi tahu.

Kanvas, aku rindu.

Tuesday, 27 May 2014

KL SENTRAL (13/4/2014)

Aku jalan perlahan
Perasan aku rupawan
Yang sentiasa diperhatikan
Kalah peragawan
Malu, rupanya aku salah jalan.

Sunday, 20 April 2014

TEMAN JENAYAH (20/4/2014)

Besfren, katanya.
Tapi tak pernah tanya, kau ok kah?
Cuma tahu teman pergi makan,
Teman pergi jalan,
Teman gelak sakan.
Cuma itu.

Pernah tanya kalau aku rasa sakit?
Pernah tanya kalau aku rasa perit?
Pernah rasa nak kongsi apa kau rasa, juga apa aku rasa?

Pernah kau tau, bila aku rasa sedih?
Bila kau makin samar, makin tawar, makin hambar?

Kau fikir semula.
Kau definisikan semula.
Teman jenayah itu apa?

Wednesday, 9 April 2014

RANGKA (6/4/2014)

Terimalah yang kau cuma rangka
Bersalut hipokrisi dianyam superioriti
Yang saja layak diterajang ditempeleng
Mahunya apa kau tunjuk kuat?

Kau kecil,
Usah berlagak sombong.
Usah berlakon tailong.

Monday, 7 April 2014

DWIJIWA (6/4/2014)

Aku derita menormakan yang janggal
Menongkah yang normal.
Tapi aku perlu buat
Tak kira walau apa.

Sebab aku dwijiwa.
Yang hitam bila bersama yang kelabu
Yang kelabu bila bersama yang putih
Yang putih bila bersama yang hitam.

Katakan yang aku dwijiwa.
Ya, aku tahu yang kau pun tahu.

Wednesday, 2 April 2014

SETAN (2/4/2014)

Diseksa jiwa
Ditikam rasa
Dek setannya perangai manusia.
Atau sebenarnya layak kupanggil setan.

Kenapa tak dibunuh saja lantas kau terus menyeksa?
Apa salah aku sampai kau buat begini rupa?
Dan kau topengkan hati setanmu dengan sepolosnya.
Dan aku sahaja yang tahu kau itu setan.

Aku benci kau, setan.
Jangan dinafikan hak aku untuk membenci.
Jangan dicaritanya kenapa aku benci.
Sebab kau pencuri.
Pembinasa.
Pengkhianat.
Dan tentunya sebab kau setan.


Tuesday, 1 April 2014

CERITA BULAN (1/4/2014)

Senyapnya bulan
Bisu dengan sejuta rahsia
Yang pernah dibisik sejuta umat manusia.

Bila hati dirobek,
Luah sama bulan.
Bila jiwa terbelai,
Luah sama bulan.
Banyak cerita, macam tak terkiranya bintang semesta.

Muncullah bulan. Aku rindu.
Sudah lupakah kau cerita kita yang dulu?

Tuesday, 25 March 2014

EMHESHTIGATUJUHKOSONG (25/3/2014)

Hari satu, aku tunggu
Tiada jawapan. Penuh persoalan.
Hari dua, aku masih tunggu
Juga senyap. Masih tak ada jawapan.

Dan sepanjang hari-hari berikutnya
Ada saja tanggapan baru
Harapan baru
Juga orang bodoh melacur mahu perhatian.
Namun doa tetap kupanjatkan.

Sampai hari ketujuhbelas
Sejuta ayat tanya berjawab juga
Tiga puluh juta hati Malaya berkabung hiba
Juga setiap orang lain di seluruh dunia

Kecuali dua ratus tiga puluh sembilan jasad yang masih hilang
Tak terjejak, tak terkesan.

Laut Hindi menjadi saksi
Tamatnya kembara sebuah pesawat gergasi
Semoga tenang berjumpa Ilahi
Selamat malam MH370, kau tetap di hati.

Sunday, 16 March 2014

SUARA RINDU (16/3/2014)

Aku rindu
Dengan suara yang selalu mendodoikan aku
Bila aku mengadu tak bisa tidur.

Aku rindu
Dengan suara yang mengazankan aku
Pertama kali aku menjengah dunia.

Aku rindu mak, aku rindu abah.

Suara-suara itu
Melemaskan aku dalam selaut rindu.
Selamatkan aku.
Aku sudah puas lemas dengan selautan air mataku.


Sunday, 9 March 2014

SEMALAM (9/3/2014)

Kita semua perindu hari semalam.
Gembira, tawa, cerita
Yang ada pada hari semalam.

Juga kekasih yang nafasnya cuma hingga hari semalam.

Yang tinggal cuma cebis-cebis lukisan kenangan yang samar
Ya, cuma itu.

Dalam pada melangkah ke depan,
Apa kau jamin takkan menoleh ke hari semalam?

Sebab kita semua perindu.
Perindu hari semalam.


Friday, 7 March 2014

TELANJANG (7/3/2014)

Hey, seksi!
Mahu ke mana bertelanjang begitu?
Serendah itukah maruah tubuhmu?
Kau pamer tiap inci kurap di kulitmu?

Hey, seksi!
Apa kau rasa cantik begitu?
Apa kau tak takut pada Tuhanmu?
Apa kau rasa lama lagi mautmu?

PENGECUT (7/3/2014)

Kau bisu
Kau beku
Kau tak mampu
Bila dicabar dek jalak jaguhan kampung hulu.

Kau bunuh diri
Dengan sebaris persepsi bodoh
Yang selamanya memenjarakan kau dalam kubur sendiri

Pengecut!

Antara hitam dan putih itu selari
Manakan bertemu keduanya sekali
Dan kau telah pilih jalan kelabu
Bersama teman-teman bodohmu.

Thursday, 6 March 2014

BABI (6/3/2014)

Aku menjerit
Mencarut
Memaki
Dalam hati.

Semuanya kena dipendam
Sebab itulah namanya dendam.

Aku mungkin nampak tenang
Tapi dalam fantasi liarku
Kau telah aku siat beribu kali
Aku telah terajang beribu kaki
Dan kau menggelupur menunggu mati.

Wednesday, 5 March 2014

KAU CANANG DOSA (5/3/2014)

Maaf
Kalau lidah aku berdosa.
Maaf
Kalau tangan aku melukakan.

Dan kau telah canang satu dunia
Kau maki di depan semua
Kau hentam sebegitu rupa.

Terima kasih.
Kerana menyedarkan
Dengan cara yang mengkhianati kepercayaan.

Wednesday, 19 February 2014

CATATAN RABAK (19/2/2014)

Gubahanku dikoyak
Ayat-ayatku dicampak
Karyaku disepak
Aku ditolak
Hatiku dirabak
Impianku retak.

Tunggu aku
Bawakan yang kau mahu
Sampai kau terkedu
Itu sumpah aku.

Monday, 17 February 2014

RATAH JIWA (17/2/2014)

Kau culik hati
Hilangkan bersama bayang yang ditelan gelap.

Kemudian kau ratah jiwa
Yang sedia terobek diguris masa.

Kau seksa jasad
Kau bunuh aku, hidupkan semua
Dan kau bunuh lagi.

Bebaskan aku
Dari seksaan yang membunuh ini.

Jangan diculik semua
Jangan diratah segala
Jangan diseksa. Jangan dibunuh.

Saturday, 15 February 2014

PULANGLAH JIWA (15/2/2014)

Pulanglah jiwa, isilah jasad yang kosong.
Kembalilah rasa, temui aku yang mendesak mahu gembira.
Kejutkan tiap satu sendiku yang dah lama lesu
Alirkan darah dalam setiap uratku yang dah lama membeku.

Aku sudah lama kosong
Minta diisi, minta dicuci.
Aku sudah lama patah cuma terdaya merangkak
Minta dikuatkan, minta dirawat.

RAHSIA GELAP (15/2/2014)

Aku tak gemar bercerita kepada manusia
Kerana yang akan memahami hanya aku dan Tuhan
Sebab itu aku cuma berlaku jujur dalam tulisanku
Tidak sekali pun dengan manusia
Yang fahamnya, simpatinya cuma pura-pura.

Hentikan memaksa aku
Hentikan mendesak aku
Aku berhak punyai rahsia
Yang cuma aku lihat melalui sepasang mata ini
Kenapa mesti aku pamerkan tiap inci sisi gelapku?
Kenapa harus aku ceritakan tiap satu cerita sedihku?

Setiap orang ada cerita
Yang mahu dia lupakan
Atau yang mahu dia rahsiakan.

Wednesday, 5 February 2014

AKU MAHU BERMIMPI (5/2/2014)

Lelapkan aku
Dari dunia yang tak henti membunuh jiwa
Dari dunia yang tak mengerti makna cinta

Tidurkan aku
Dari realiti yang tak jemu menusuk hati
Dari realiti yang mengasingkan aku seorang diri

Aku hanya mahu bermimpi
Dalam dunia yang aku lakar sendiri
Aku hanya mahu terlelap
Walau cuma sekejap.

Monday, 3 February 2014

SUPERHERO (3/2/2014)

Dialah yang paling kuat
Tak pernah mengeluh walau ditusuk seratus pedang
Dialah yang paling gembira
Masih tersenyum walau sudah menutup mata tak lihat dunia
Dialah Abah
Malaikat yang tak pernah jemu menjaga anaknya.

Aku harus kuat
Kerana Abah tak pernah menunjuk lemah
Aku harus berhenti menangis
Kerana Abah tak pernah berduka.

Demi Tuhan, aku rindu Abah.
Demi Tuhan, aku sayang Abah.
Demi Tuhan, aku mahu gembirakan Abah.

Tenanglah di sana, Abah.
Superhero yang telah pergi berjumpa Tuhan.

Jumaat, 31 Januari 2014.
Aku takkan lupa
Sampai bila-bila.

Sunday, 26 January 2014

NOCTURNAL (11/12/2013)

Kalaulah bisa ditutup
Setiap satu mulut celaka itu
Yang hanya tahu berungkapkan cemuhan
Juga segala macam ayat setan
Semestinya aman dunia ini.

Tapi itu cuma kalau
Ya, kalau.

Siapa kau, mahu mendefinisikan aku dengan apa yang kau lihat?
Siapa kau, mahu melemparkan hukum dengan sebegitu berat?
Sebab bagi aku
Kau bukan siapa-siapa
Walau secalit, walau sezarah
Pergi berambus

Sejauh-jauhnya.

Saturday, 25 January 2014

HARI INI DAN SEMALAM (25/1/2014)

Betapa berbezanya hari ini dan semalam
Ada yang semalamnya baik, hari ini jahat semacam setan
Ada yang semalamnya bahagia, hari ini sengsara dek neraka dunia
Ada yang semalamnya celik, hari ini sudah gelita membuta
Tapi kau masih membentak tak mahu percaya.
Konon kau masih muda.
Konon kau masih lama.

Bezanya hari ini dan semalam

Takkan terduga dek akal cetekmu
Aku sumpah
Kau tak akan tahu apa adanya pada hari esok
Celiklah.

Sekalipun dilanjut usia beribu tahun

Apa kau pasti akhirnya kau sepolos malaikat?
Apa kau pasti akhirnya kau semulia para wali?

Takdir Tuhan
Manakan bisa kau elak tepis
Meski kau lemas bermandi harta
Meski kau bahagia dilambung puji manusia
Ingat, itu semua sementara.

Hari ini takkan sama semacam esok
Seperti lainnya hari ini dengan semalam.

Friday, 24 January 2014

PENDENGAR RAHSIA (24/1/2014)

Untuk pembaca cerita
Juga pendengar rahsia
Mahupun pengerti rasa
Terima kasih kerana sudi mendengar
Tiap cerita yang aku coretkan di sini.

Aku tak mengimpikan pujaan manusia
Mahupun pujian berjuta
Cukup sekadar didengarkan cerita aku.
Yang mungkin ada titik persilangan
Tiap satu antara kita.

Kerana manusia
Pasti ada yang ceritanya sama
Cuma takkan serupa.

Sekali lagi,
Terima kasih pendengar rahsia
Meskipun aku tak tahu engkau siapa.
Yang pasti kau manusia yang punyai rasa.

PENIRU (24/1/2014)

Satu benda yang paling aku benci
Bila mana kau lihat
Orang yang juga kau benci
Atau orang entah siapa-siapa yang kau tak kenali
Meniru baris ayat yang kau ucap
Meniru patah kata yang kau ungkap
Meniru luahan rasa yang kau cakap
Sejujurnya aku benci
Apabila diambil sesuatu yang mutlak dari aku.

Tolonglah.

Hati kau, hati aku, keduanya berbeza
Mata kau, mata aku, keduanya tak melihat perkara yang sama
Apa yang kita rasa tak semestinya sama
Cuma kalau mahu diambil dari aku

Tolong.

Jangan dinafikan apa yang mutlak dari hati, jiwa dan perasaan aku.

Thursday, 23 January 2014

KECIL (17/1/14)

Aku mahukan waktu kecil
Waktu yang belum terlihat luasnya dunia
Waktu yang belum terlihat jahatnya manusia
Waktu yang masih polos tak terpalit dosa
Waktu yang tak pernah tahu apa itu cinta
Waktu yang tak pernah rasa terluka


Sungguh, aku menyesal ingin dewasa.